Summary: | Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan wadah baru masyarakat hari ini
dimana semua insan terpaksa kenal dan tahu memanfaatkannya. Adalah menjadi
kewajipan untuk setiap tenaga pengajar di universiti untuk membudayakan penggunaan
ICT supaya budaya ICT itu akan menjadi komponen lazim dalam kehidupan bagi
melahirkan masyarakat yang bermaklumat dan berfikiran secara global. Objektif kajian
ini adalah untuk mengenal pasti tahap pembudayaan ICT di kalangan pensyarah UiTM
Pulau Pinang dan UiTM Perlis, persepsi pensyarah mengenai penggunaan ICT, tahap
pengetahuan dan kemahiran ICT pensyarah, kekerapan penggunaan peralatan ICT serta
halangan kepada penggunaan ICT. Kajian ini juga cuba mengenal pasti sama ada terdapat
hubungan di antara tahap pembudayaan ICT dengan tahap pengetahuan dan kemahiran
ICT pensyarah dan hubungan di antara tahap pembudayaan ICT dengan halangan kepada
penggunaan ICT. Data dikumpulkan menggunakan borang soal selidik dan dianalisis
menggunakan nilai kekerapan, peratusan, min, ujian-t dan ujian Chi-Square. Dapatan
kajian menunjukkan tahap pembudayaan ICT di kalangan pensyarah di UiTM Pulau
Pinang dan UiTM Perlis masih di tahap sederhana. Ini dikenal pasti berpunca daripada
tahap pengetahuan dan kemahiran ICT pensyarah yang sederhana, kekurangan alat bantu
mengajar, kursus dan bengkel ICT yang tidak mencukupi dan kurangnya sokongan
teknikal untuk membudayakan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
|